Skip to content

Masalah Wanita Masa Kini, Tetap dihidapi Sering Menghantui…

3 November 2010

Setiap wanita yang menjangkau usia lewat 40-an, pasti sedar bahawa tidak lama lagi dia akan menempuh menopos atau ‘perubahan dalam hidupnya’. Satu tempoh di mana tubuhnya akan mengalami satu situasi baru dan dia tidak lagi mampu melahirkan zuriat. Sesetengah wanita melalui semua perubahan ini dengan mudah sehingga tidak menyedari mereka sedang mengalami menopos, tetapi kebanyakan wanita akan merasai sedikit sebanyak kelainan dalam diri mereka. Bantuan doktor mungkin diperlukan kerana tempoh perubahan ini adala tempoh yang sukar ditempuhi.Masalahnya, kebanyakan kaum wanita menganggap menopos merupakan sesuatu yang wajar. Keluhan yang timbul dianggap proses alami dan tidak merasa perlu diubati.

Dalam jangka lima sampai 10 tahun setelah menopos, timbul masalah seperti osteoporosis (tulang rapuh), penyakit jantung koronori, demensia seperti Alzheimer, strok serta inkontinensia urin (mudah terkencing).Kepada wanita menopos sering timbul keluhan akibat kekurangan hormon estrogen. Keluhan itu seperti berdebar-debar, berkeringat banyak, pusing, gelisah, diserang perasaan takut, kurang percaya diri, cemburu berlebihan, sakit saat berhubungan dengan suami, gairah seksual menurun, mata kering, kerongkong kering, serta ngilu tulang dan otot.

Apakah Sebenarnya Menopos?

Perkataan menopos sebenarnya bermaksud pusingan haid terakhir sebelum seseorang wanita itu mengalami putus haid. Tetapi istilah menopos kini ditafsirkan sebagai peringkat hidup seseorang wanita di mana ovarinya (iaitu organ yang menghasilkan telur dan hormon seks) semakin lemah dan kurang berfungsi, serta tubuhnya perlahan-lahan mula menyesuaikan diri dengan tahap hormon yang rendah. Para doktor kadang-kadang menamakan peringkat perubahan ini sebagai ‘climacteric’.

Semua perubahan ini tidak akan berlaku sekaligus dalam satu hari, tetapi ia akan berlaku sedikit demi sedikit dan adakalanya mengambil masa beberapa tahun. Biasanya ia bermula ketika di pertengahan atau penghujung usia 40-an, malah ada juga seawal lewat 30-an. Gangguan haid mula berlaku, umpamanya pusingannya jadi tidak teratur, ataupun tidak sekerap biasa, dan akhirnya ia akan berhenti sama sekali. Secara purata, seseorang wanita akan putus haid pada usia sekitar 50.

Apakah Dia Haid?

Haid adalah suatu keadaan fisiologi yang tetap dan teratur. Ia dialami oleh wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang wanita akan kehilangan darah. Tempoh reproduktif seseorang wanita dicirikan dengan perubahan ritmik pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak ritmik ini dikenali sebagai kitaran seksual wanita atau kitaran haid. Fungsi kitaran haid ialah menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implantasi embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina.

Proses haid akan membuang keluar darah, mukus/lendiran dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status nutrisi serta pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang normal ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang normal dan sihat ialah di antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.

Purata kitaran haid di kalangan gadis ialah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun, purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus haid. Lebih kurang lima peratus wanita yang sihat datang haid kurang daripada empat hari dan lima peratus lagi wanita yang mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang hilang semasa kedatangan haid ialah 70 ml. Wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding wanita yang berumur 35 tahun ke atas. Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah di antara 60 hingga 200 ml.Sesetengah wanita akan mengalami simtom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid tersebut. Di dalam tempoh tersebut wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.Kehadiran dan keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan wanita.

Seperti yang diperkatakan seawal tadi, putusnya haid ertinya bermulalah tempoh menopos.Ketika menopos, tubuh akan menyesuaikan diri dengan tahap pengeluaran hormon yang kurang, tetapi apakah sebenarnya hormon ini dan bagaimanakah pentingnya hormon ini pada tubuh sebelum tubuh mengalami menopos?

Fungsi Hormon?

Hormon ialah bahan istimewa yang membantu melancarkan tugas-tugas tubuh. Kedua-dua ovari dalam tubuh seseorang wanita menghasilkan hormon perempuan, iaitu estrogen. Estrogenlah yang bertanggungjawab ke atas segala perubahan tubuh bagi menyediakan seseorang kanak-kanak memasuki alam kewanitaan. Ia membantu pertumbuhan payudara dan pembentukan tubuh wanita yang berbeza dari lelaki. Estrogen juga merangsang tumbesaran organ-organ pembiakan yang membolehkan seseorang wanita melahirkan anak. Setiap bulan sebiji telur dikeluarkan dari salah satu ovari dan jika disenyawakan ia akan membesar di dalam rahim menjadi seorang bayi. Sekiranya kehamilan tidak berlaku, telur itu akan dikeluarkan dari rahim sebagai haid.

Estrogen juga berfungsi dalam memelihara kesihatan seseorang wanita. Ia penting untuk kecantikan dan kesihatan kulit, serta pelbagai organ tubuh dan kecerdasan minda.Semakin menghampiri menopos, semakin kurang hormon yang dikeluarkan oleh ovari, dan ada bulan-bulan di mana tiada langsung telur dihasilkan. Inilah yang menyebabkan haid datang tidak menetu kerana rahim tidak ‘mebuang’ lapisan telur ini seperti biasa. Seseorang wanita kemungkinan tidak akan sedar akan sebarang keganjilan tentang haidnya sehinggalah pusingan haidnya terus berhenti dan berlaku menopos.

Bagaimanapun, ada juga wanita yang mengalami pendarahan yang terlalu banyak sewaktu haid di peringkat ini. Jika ini berlaku, wanita itu seharusnya berjumpa doktor kerana ia mudah dirawat, dan juga dikhuatiri is berlaku bukan disebabkan menopos, tetapi sebaliknya atas sebab-sebab lain.Seseorang wanita yang menganggap dirinya telah putus haid masih perlu menggunakan kaedah pencegah kehamilan selama beberapa waktu, kerana mungkin dia hanya sedang mengalami pusingan haid yang tidak menentu. Dia perlu meminta nasihat doktor tentang bila ketikanya untuk berhenti menggunakan kaedah pencegah kehamilan.

Tanda-Tanda Perubahan

Sejak seseorang wanita itu dewasa, iaitu ketika dia masih muda, tubuhnya sudah terbiasa dengan tahap estrogen yang tinggi. Menjelang menopos apabila ovari mengurangkan pengeluaran hormonnya, tubuh akan mengambil masa untuk menyesuaikan dengan keadaan begini. Dalam sesetengah aspek, tubuh sama sekali tidak berdaya mengimbangi perubahan ini dan kekurangan estrogen juga boleh mengakibatkan kesan yang kekal. Wanita tersebut mungkin mengalami simptom yang terjadi akibat perubahan tahap estrogen dari tinggi menjadi rendah. Simptom-simptom ini kemungkinan besar berlaku ketika dia masih ada haid. Perubahan-perubahan lain akan terjadi sepanjang tempoh masa yang lebih panjang, dan mungkin tidak akan disedari sehinggalah beberapa tahun selepas putus haid.

Simptom-simptom paling awal selain dari perubahan pusingan haid seperti yang telah disebut sebelum ini, biasanya akan mula berlaku beberapa waktu sebelum putus haid. Biasanya simptom-simptom ini akan lebih ketara selepas putus haid, dan akan berterusan buat beberapa tahun selepas itu. Walau bagaimanapun, simptom-simptom jangka pendek ini lama-kelamaan akan berhenti juga akhirnya. Simptom jangka pendek yang paling biasa ialah aliran rasa rimas panas dan berpeluh tiba-tiba yang boleh menimbulkan rasa malu jika terjadi di khalayak ramai. Rasa rimas panas ini boleh membara dari dada naik ke leher dan muka, dan wajah bertukar merah. Rasa panas ini biasanya diikuti simbahan peluh terutama sekali di waktu malam yang boleh mengganggu tidur. Ada wanita yang bernasib baik kerana tidak pernah mengalami rasa panas ini, manakala ada pula yang terpaksa menanggungnya beberapa kali setiap hari.

Sesetengah wanita mengadu sakit kepala, berdebar-debar dan keletihan yang amat sangat. Kebanyakan simptom ini adakalanya berlaku serentak atau berturut-turut dan ini memburukkan lagi keadaan. Lebih-lebih lagi jika perubahan itu melibatkan perubahan emosi seperti rasa mudah tersinggung, kemurungan dan kurang tumpuan, yang juga mengganggu ramai wanita pada tahap ini. Walaubagaimanapun, hanya segelintir wanita menderita kesemua simptom serentak dalam satu masa. Gangguan emosi ketika ini juga boleh membuat seseorang wanita itu berasa lebih tertekan dalam menangani simptom-simptom ini, barangkali kerana anak-anaknya sudah dewasa dan kini menjalani kehidupan sendiri, atau mungkin juga kerana menyedari dirinya tidak boleh lagi melahirkan anak. Tekanan-tekanan perasaan seperti ini mungkin tidak ada kaitan dengan pengurangan kadar estrogen, tetapi ia boleh memberatkan lagi masalah-masalah yang ada kaitannya dengan simptom kurang estrogen.

Berbeza dengan simptom jangka pendek yang terhad kepada beberapa tahun sebelum atau selepas menopos, perubahan jangka panjang menjadi lebih ketara pada usia yang lebih lewat kerana ia berpunca daripada kadar estrogen yang semakin berkurangan, dan biasanya akan bertambah teruk dengan bertambahnya usia. Pengurangan estrogen meninggalkan kesan pada anggota tubuh seperti berikut:

  • Rahim

Rahim akan mula mengecut setelah ia tidak diperlukan lagi untuk tujuan kelahiran.

  • Faraj

Faraj akan memendek dan sempit serta menjadi kendur. Lapisan dindingnya menjadi nipis dan kering, ini kerap mengakibatkan kesakitan ketika hubungan kelamin. Ini seterusnya akan mewujudkan tekanan emosi yang boleh menjejaskan hubungan seksual.

  • Pundi Kencing

Kawalan di pundi kencing menjadi lemah dan menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal atau menahan kencing (walaupun kekurangan estrogen biasanya bukanlah punca berlakunya keadaan ini). Tambahan lagi, otot-otot di kawasan ini akan menjadi lebih lemah keika menopos, dan ini memburukkan lagi masalah pengawalan pundi kencing.

  • Kulit dan Rambut

Pengurangan estrogen juga melibatkan kesan pada rupa paras seseorang wanita. Kulit menjadi nipis dan kering serta hilang keanjalan dan kelembutannya. Kurangnya estrogen juga mengurangkan pertumbuhan rambut, manakala rambut juga kehilangan serinya.

  • Tulang dan Otot-otot

Estrogen sangat penting dalam memelihara tulang agar sentiasa kuat. Dengan menurunnya kadar estrogen, tulang menjadi semakin kecil dan lemah sejak sebelum menopos lagi. Proses ini dipanggil osteoporosis. Inilah yang menyebabkan tulang jadi rapuh dan lebih mudah patah di kalangan wanita yang lebih berusia. Wanita tua biasanya semakin rendah dan menjadi bongkok akibat tulang belakang yang semakin lemah hingga ada tulang-tulang yang roboh. Sakit belakang dan radang sendi juga biasa berlaku. Otot-otot juga boleh menjadi lemah akibat penurunan kadar estrogen.

Penyakit Jantung dan Saluran Darah

Estrogen nampaknya penting dalam melindungi seseorang wanita muda daripada penyakit yang menyerang pembuluh darah – sebab utamanya terjadi serangan jantung dan strok yang lebih kerap dihidapi kaum lelaki muda atau separuh umur. Selepas menopos, kaum wanita juga menghadapi risiko serangan jantung dan strok yang sama tingginya seperti yang dihidapi kaum lelaki. Simptom-simptom Perubahan Hidup:-

  • Simbahan rasa panas
  • Pendarahan faraj yang tidak tetap
  • Sakit kepala
  • Sakit-sakit otot
  • Mudah marah
  • Bulu baru tumbuh di muka
  • Kemurungan
  • Kulit terlalu kering
  • Kurang dorongan seks
  • Rasa tidak dicintai
  • Faraj menjadi kering
  • Kurang minat seks
  • Sakit belakang
  • Susah tidur
  • Sakit sendi
  • Keletihan luar biasa
  • Peluh malam
  • Sakit ketika hubungan seks

Beberapa Soalan Yang Mungkin Ada Di Fikiran Anda

  • Adakah saya sesuai atau layak menjalani Terapi Penggantian Hormon (HRT)?

Bincangkan masalah ini dengan doktor anda, beliau mungkin mahu merawat anda sendiri atau merujuk anda kepada klinik menopos terdekat di kawasan anda. Sekiranya doktor anda mengambil keputusan memberikan anda HRT, beliau akan menjalankan pemeriksaan rapi untuk memastikan tahap kesihatan anda, dan untuk mengetahui sama ada hormon sesuai untuk anda.

  • Doktor mendapati saya sesuai untuk HRT. Untuk tempoh berapa lamakah dia akan memberikan saya HRT? Segelintir wanita hanya memerlukan rawatan untuk beberapa bulan sahaja untuk menghilangkan simptom-simptom. Manakala ada wanita yang perlu dirawat berperingkat-peringkat dalam jangka masa pendek tetapi selama beberapa tahun, untuk mencegah masalah jangka panjang dan kemungkinan terjadi simptom-simptom lain di tahun-tahun mendatang. Doktor anda akan menentukan apa yang terbaik untuk anda.
  • Bolehkah HRT melambatkan proses penuaan?

Tidak boleh. Menggantikan semula estrogen yang hilang dari tubuh hanya akan mempengaruhi perubahan-perubahan yang berlaku akibat kekurangan estrogen. Ia juga boleh membuat seseorang wanita berasa dan kelihatan lebih baik, tetapi tiada kesan pada proses penuaan semula jadi.

  • Adakah HRT boleh melambatkan menopos?

Tidak. Fungsi ovari yang semakin lemah tidak akan diperlambatkan lagi atau dipercepatkan oleh HRT.

  • Apa akan belaku pada pusingan haid saya?

Tujuan HRT ialah untuk meneruskan turunnya pendarahan sama seperti corak pusingan haid biasa. Haid akan digantikan dengan pendarahan teratur yang dihasilkan oleh HRT. Walau bagaimanapun, pendarahan hasil HRT biasanya lebih ringan dibandingkan haid. Pendarahan yang berlaku secara teratur dan tetap ini akan berterusan selama mana anda masih terus menerima HRT. Walaupun haid telah lama berhenti sebelum anda menggunakan HRT, besar kemungkinan anda akan masih mengalami sedikit pendarahan.

  • Adakah HRT akan membuat saya lebih subur?

Tidak. HRT tidak akan membuat anda lebih subur. Anda tidak boleh mengandung atau melahirkan anak setelah mengalami menopos, dan pendarahan tetap yang dihasilkan oleh HRT ini – yang bukan haid sebenar- tidak akan mengubah keadaan ini.

  • Bolehkah HRT bertindak sebagai pencegah kehamilan seperti pil perancang?

Tidak. HRT bukan satu kaedah pencegah kehamilan. Sekiranya anda masih subur ketika memulakan HRT, anda perlu terus menggunakan kaedah pencegah kehamilan sehinggalah dibenarkan berhenti oleh doktor anda. Sepanjang tempoh pengambilan HRT, anda TIDAK BOLEH mengambil kaedah pencegah kehamilan dalam bentuk pil.

  • Bagaimana tentang kesan sampingan?

HRT menggunakan estrogen semula jadi untuk menggantikan hormon yang sama yang telah hilang dari tubuh seseorang wanita. Jadi kesan sampingannya amat sedikit. Walau bagaimanapun, sama seperti hormonnya sendiri yang akan menyebabkan beberapa simptom sebelum menopos, begitulah juga dengan HRT. Simptom-simptom kecil biasanya berlaku seperti rasa tegang di payudara, tetapi ini akan hilang selepas sebulan dua.

  • Adakah HRT mempunyai risiko?

Estrogen semula jadi, jenis estrogen paling logik untuk digunakan, adalah rawatan yang telah banyak kali dicuba dan telah melalui ujian paling getir. Hasil yang telah terbukti hari ini menunjukkan HRT yang diberikan di bawah pengawasan yang rapi, dan disesuaikan mengikut keperluan anda, membawa risisko paling sedikit terhadap kesihatan anda.

  • Bolekah hysterectomy menukar perubahan dalam hidup?

Biasanya, hysterectomy hanya membuang rahim dan bukan ovari. Ovari-ovari ini akan terus mengeluarkan hormon dalam jumlah biasa sehinggalah usia di mana menopos sepatutunya berlaku, kecuali jika bekalan darah ke ovari berkurangan seperti yang kadangkala berlaku selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, sekiranya ovari dikeluarkan sewaktu ia masih aktif, maka wanita tersebut akan mengalami perubahan hidup bukan semula jadi yang berlaku secara mendadak, tidak kira betapa muda usianya. Dalam keadaan ini, wanita itu mungkin memerlukan HRT untuk menggantikan hormon-hormon yang telah tiada. Bagaimanapun, keputusan samada HRT boleh atau tidak boleh diberikan akan bergantung kepada punca atau sebab asal kenapa pembedahan hysterectomy telah dilakukan.

  • Setinggi manakah risiko saya menghidapi osteoporosis?

Risiko anda bertambah dengan:-

  • Merokok
  • Kurang bersenam
  • Minum minuman beralkohol
  • Faktor keturunan seperti mempunyai ibu yang menghidap osteoporosis yang teruk (hilang ketinggian dengan ketara, atau bongkok, atau patah pergelangan tangan atau pinggul).

Apakah Yang Boleh Saya Buat Untuk Membantu Diri Saya Sendiri?

Jika anda merokok, anda dinasihatkan untuk berhenti amalan ini buat selama-lamanya. Ini akan membantu saluran darah dan paru-paru anda, serta melambatkan terjadinya osteoporosis. Lakukan senaman – seperti berjalan yang sangat baik untuk kesihatan – dan imbangi pemakanan anda. Pastikan anda mengambil lebih kalsium dengan banyak minum susu (susu skim adalah yang paling menyihatkan) atau makanan dari hasil susu seperti yogurt dan keju (keju rendah lemak adalah yang terbaik). Selepas menopos, anda mudah sekali menambah berat badan – jadi makanlah dengan sewajarnya untuk memelihara kesihatan anda, dan jika perlu mintalah nasihat doktor. Jika anda gemar minuman beralkohol, minumlah pada kadar yang sederhana.

Inilah masanya anda perlu membuat banyak perubahan di dalam hidup anda. Janganlah mudah kecewa sekiranya cubaan-cubaan awal anda tidak mendatangkan hasil. Mungkin inilah waktunya anda boleh menumpukan semula perhatian kepada hobi anda yang selama ini tidak mampu dilakukan kerana terlalu sibuk. Pandanglah ke hadapan di mana masih ada sepertiga lagi jangkamasa kehidupan anda yang bakal anda lalui. Jadikanlah ia satu tempoh yang paling meriangkan.

Bagaimana Doktor Anda Boleh Membantu?

Anda telah berjumpa doktor anda kerana satu atau lebih simptom awal menjelang menopos seperti pendarahan teruk semasa haid atau pusingan haid tidaak tetap, simbahan rasa panas, berdebar-debar, berpeluh, sakit kepala atau keletihan yang amat sangat.

Untuk kelegaan jangka pendek, beliau mungkin merawat anda misalnya dengan memberi ubat penahan sakit bagi sakit kepala atau tranquiliser untuk masalah emosi. Walau bagaimanapun, ini tidak akan dapat menyembuhkan masalah sebenarnya yang berpunca daripada kekurangan hormon.

Apakah sebenarnya HRT?

HRT semata-mata bertujuan menggantikan estrogen yang telah hilang. Jadi, estrogen paling baik untuk digunakan ialah ‘estrogen semula jadi’, dalam perkataan lain, estrogen yang sama seperti estrogen yang dihasilkan oleh ovari wanita sendiri.

Kelebihan dari Terapi Penggantian Hormon?

Terapi estrogen semula jadi berkesan untuk mengawal sakit kepala dan simbahan rasa panas dan lain-lain simptom akibat dari kekurangan estrogen, biasanya dalam masa seminggu dua. Juga bagi seseorang wanita yang mengalami kesakitan sewaktu hubungan seks, estrogen yang menjadikan lapisan dinding faraj lebih tebal dan sihat, akan membantu menjadikan hubungan kelamin lebih selesa. Tetapi estrogen semula jadi juga membantu otot-otot untuk menjadi kuat semula dan keadaan kulit serta rambut akan menjadi lebih baik. Seseorang wanita yang sihat, pasti dia juga akan kelihatan lebih baik.

Inilah masalah-masalah ketara akibat dari tempoh perubahan ini. Semua masalah ini akan bertindak balas dengan HRT. Tetapi para doktor hari ini semakin cenderung dalam rawatan pencegahan untuk kesihatan yang lebih baik bagi semua. Semakin ramai doktor-doktor persendirian menganjurkan Klinik Wanita Sihat di klinik-klinik mereka. Salah satu faedah paling besar dari rawatan HRT yang berpanjangan ialah perlindungan tulang dari reput dan rosak secara perlahan-lahan. Apabila usia meningkat, perlindungan dari kereputan tulang (osteoporosis) menjadi semakin penting. Banyak kejadian tulang patah yang berbahaya dapat dielakkan dengan meneruskan HRT.

HRT jangka panjang juga boleh mengembalikan perlindungan yang diberikan oleh estrogen sebelum menopos dari kemusnahan pembuluh darah yang membawa darah ke jantung, otak dan organ-organ lain. Terapi estrogen semula jadi boleh menghindari pelbagai penderitaan yang tidak perlu dideritai, bukan sahaja oleh wanita itu sendiri, malah keluarga mereka juga. Perubahan hidup anda tidak perlu menjadi satu bencana. Tidak ada sebab kenapa menopos harus menyekat anda dari menikmati hidup dengan penuh ceria, sihat dan bahagia untuk tahun-tahun yang mendatang.

Maklumat Lanjut layari www.taslysabah.com

From → Pelbagai

One Comment
  1. zarina kauran permalink

    Pada usia 45 tahun, apkah kesan sekiranya kerap mengadakan hubungan seks

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: